Oktober 30, 2008

Ceritera Det dan Lah

Bila Det angkat Lah,
Ramai sokong setuju saja,
Pilihan tepat lagi bijak
Oleh seorang negarawan bangsa???

Bila Det hentam Lah,
Ramai juga sokong setuju saja,
Lembab, lembam, lembik,
Itu hujah tambahannya…,

Bila depa kalah pilihanaraya,
Det kata Lah jadi puncanya,
Semua sokong kata dia,
Det gesa Lah turun segera
Lah buat peralihan kuasa
2010 pada mulanya…
2009 pada akhirnya…
Semua Det punya ANGKARA

Det hentam Lah lagi
Langsung tak bagi peluang sekali
Seolah Det bersih sekali
Tak dosa langsung pilih pengganti…

Bila Det hentam lagi,
Alih-alih Lah pula bidas sekali
Satu Malaya marah Lah lagi
Sebab Lah tak kenang budi
Sebab Lah tak pegang janji

Kata mereka,
Lah lupa diri,
Lah lupa budi
Lah lupa janji,

Sayangnya,
Takdak sorang pun yang salahkan Det,
Atas dosa pilih pengganti,
Atau cuba langsungkan dinasti diri,
Walaupun dia dok luar parti,
Sebab yang jahat tetap Lah dan family,
Termasuk khairi dan Kamal dan Nouri,
Datin Seri Jeanne pun masuk sekali,
Atas dosa menyerah lima negeri
Atas dosa memalukan parti
Atas dosa merakus diri
Mengaut harta dan khazanah negeri

Lalu Det diamkan diri
Sebab batu dah dibaling
tangan kena sembunyi,
Det tahu ramai lagi
Sokong Det, Mukhriz dan Mokhzani,
Jadi hanya tunggu masanya kembali
Untuk mengatur urusan negeri ini
Walaupun kubur dah panggil mari
Dunia pun dah kata pergi
Namun Det sendiri masih ada misi
Sebab 2020 punya visi belum terisi
Projek Jambatan Bengkok pun sudah dihenti
Malu yang dulu pun ada lagi
Lah mesti dilondeh lagi
Agar Lah tahu langit itu tinggi
Agar Lah tahu apa nilai janji
Agar Lah tahu segala memori
Det pernah jadi Perdana Menteri
Lah kena fikirlah sendiri…
Nak serah kuasa atau nak terus lagi
Pecat semua menteri yang korupsi
Pecat 5 pemimpin tertinggi UMNO sekali,
Lantik MP lain jadi menteri,
Mesti sokongan MP lain hebat sekali lagi,
Kalau rasa nak selamat negeri
Lah fikirlah sekali lagi…

perfectwater

Oktober 29, 2008

Confirm!!!! UMNO Dah Celaru…,

Confirm!!!! UMNO Dah Celaru…,
Perkembangan politik semasa khususnya yang berkaitan UMNO jelas lagi bersuluh memberikan kita pengertian yang mendalam akan hakikat UMNO sudah sah kecelaruannya. Lihat sahaja pelbagai aksi yang disajikan dalam setiap persidangan UMNO di peringkat bahagian yang semakin menghampiri penghujungnya pada 9 November ini. Walaupun ‘pengganti’ PM semasa seperti dibuntuti oleh sebilangan besar ahli atau perwakilan cawangan walaupun dalam kalangan mereka menyedari bahawa ‘pengganti’ yang ditunjuk oleh bakal mantan Presiden UMNO itu bukanlah seorang calon paling layak untuk memimpin mereka tetapi kerana mengikut pola pencalonan semasa dan ada yang takut sangat dicop sebagai orang yang menongkah arus maka dengan rela paksa mereka mencalonkan ‘Imam Muda Mazhab Hadhari’ sebagai pengganti kepimpinan UMNO yang makin hancur itu.
Siapa yang dapat menafikan hakikat bahawa UMNO semakin teruk ‘dikepung’ oleh sekutunya seperti MCA, MIC dan parti komponen yang terutama dalam menjuarai isu kesaksamaan hak dan kebolehpercayaan rakyat yang mereka wakili. Kedengaran suara-suara ‘hebat’ ahli parlimen kerajaan yang kuat menghentam kerajaan kerana kealpaan pemimpin semasa melaksanakan janji dan keperihatinan mereka seperti yang termaktub dalam manifesto pilihanraya umum mereka. Namun begitu, suara mereka cuba juga dibisukan oleh ‘kepintaran’ individu tertentu yang tidak mahu dilihat rakyat sebagai contoh kerajaan yang lemah yang mungkin akan menyebabkan kejatuhan lebih awal dari yang dijangkakan.
Isu terkini, desakan MCA kepada Kerajaan Barisan Nasional(UMNO) untuk menghapuskan ekuiti wajib Bumiputera sebanyak 30% dalam saham syarikat yang hendak ditubuhkan menjadi antara contoh semasa terbaik, tetapi apa yang ingin diselami bukanlah keberanian MCA menyatakan desakan ini secara terbuka tetapi saya melihat kepada apa yang menjadi punca kepada keberanian sebuah parti yang selama ini dikenali sebagai rakan setia atau ‘loyalty partner’ yang biasanya bersetuju dengan setiap dasar atau apa yang dinamakan sebagai kontrak sosial di Malaysia sebelum ini.
Apa dan siapa yang menjadi punca kepada semua yang berlaku ini? Memanglah tak adil jika kita terus menyalahkan seseorang atau sesuatu sebagai ‘helah bela diri rasionalisasi’ untuk melarikan diri dari penanggungjawaban atau ayat yang biasa digunakan iaitu ‘KAMBING HITAM’ dan sebagai contoh individu pertama yang menjadi ‘KAMBING HITAM’ selepas kekalahan teruk UMNO/BN ialah Setiausaha Agung UMNO sendiri iaitu Dato’ Seri Mohd. Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad yang menurut katanya ‘meletak jawatan’ walaupun hakikatnya dilucutkan jawatannya atas kegagalan memberi input terbaik khususnya kepada Bakal Mantan Presiden UMNO@Perdana Menteri(bermula Mac 2009) sebelum mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada awal Mac 2008 yang lalu. Dua tiga ‘ekor’ kambing hitam yang seterusnya rasanya tak perlu saya nyatakan dalam artikel ini kerana umum sedia mengetahuinya. Kita berbalik kepada apa yang menjadi punca kepada berlakunya semua perkara yang satu ketika dulu sebenarnya amat asing kepada umum. Secara tuntasnya, dasar yang UMNO laksanakan khususnya sebagai pemerintah utama kerajaan yang berdiri hari ini menjadi penyebab kepada kelangsungan kekalutan dan ketidakstabilan politik negara kini. Antaranya,
1) Persempadanan semula kawasan pilihanraya yang memberikan kelebihan majoriti penentu undi kepada bangsa Cina di sesetengah kawasan yang dulunya merupakan kawasan majoriti Melayu.
2) Meletakkan calon bukan bumiputera di kawasan pengundi Melayu/Bumiputera yang secara umumnya amat setia kepada UMNO/BN dan tak ragu-ragu member undi mereka asalkan yang menang itu BN sedangkan pengundi Cina hanya tegar sebahagian besarnya tidak sesekali memberikan undi mereka kepada calon selain warna kulit dan sebangsa mereka.
3) Pemilihan calon yang merupakan pengikut kepada individu tertentu menyebabkan calon tersebut kalah kerana tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki pengundi, malangnya ia berlaku majoritinya di kawasan yang pengundi Melayu menjadi penentu.
4) Hakikatnya, kerajaan yang ada semakin lemah, ditambah pula dengan ahli UMNO lebih sibuk dalam perkara memilih bakal pemimpin sandaran baru mereka yang boleh menganjarkan imbuhan terbaik buat mereka daripada bersatu hati menghadapi kekalutan yang kian melemahkan pimpinan kerajaan semasa.
5) inilah implikasi negatif yang mesti diterima apabila agenda bangsa menjadi tunjang utama dasar perjuangan UMNO(Baru) dan tidak meletakkan Islam sebagai teras utama parti. Perlu diingat, kaum Cina dan India hanya menyentuh soal-soal dan hak-hak Melayu tetapi mereka tidak berani langsung sebenarnya hendak menyentuh secara terang-terangan hak Islam di Malaysia. Jangan terkejut kalau ada pihak yang bersifat keagamaan akan lebih berani meminta kesamarataan dalam beragama jika keadaan semasa dibiarkan.
6) Kerajaan semasa lebih gemar menggunakan akta dan undang-undang berkaitan untuk mengertak dan menakutkan rakyat tetapi mereka tidak sedar semakin hari semakin kuat dan kukuh keberanian diri mereka untuk menentang apa yang mereka sifatkan sebagai kemungkaran kerajaan yang ada hari ini dan tak hairan jika ada dalam kalangan rakyat yang lebih dahsyat cara dan perjuangan mereka akan menjuarai demonstrasi jalanan di Malaysia suatu hari nanti.

Mohon berhujah,
p/s: Makin tak faham politik ‘busuk’ UMNO kini….

Oktober 23, 2008

UMNO...DULU BAGAIMANA? KINI MACAMANA? SELAMANYA JADI LAGU MANA?

Salam Bloggers!

Lama sudah saya tak menulis artikel seperti ini kerana kekangan kerja dan tugas-tugas politik semasa yang menghalang saya tetapi pagi ini seolah-olah baru sedar dari lamunan saya mendapat idea dan harap dapat ia dapat dikongsikan dengan semua blogger yang wujud di dunia maya ini. Insya Allah. Saya memilih tajuk ini selepas menjalankan sedikit kajian yang berkaitan dengan harapan dapat menyedarkan umumnya ahli UMNO yang tidak sedar diri mereka sudah diperalatkan oleh pemimpin yang tampak indah peribadi tetapi sebenarnya sampah yang menyelubungi diri. Bukanlah niat saya untuk menyeru ahli-ahli UMNO meninggalkan perjuangan tetapi lebih kepada perbetulkan setiap tingkah yang ditonjolkan oleh pemimpin kesayangan mereka yang jelas mempermainkan kesetiaan mereka dalam setiap perbuatan politik mereka. Semoga artikel ini menarik perhatian pencinta UMNO yang berani melaksanakan perubahan drastik demi memastikan UMNO terus relevan untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun lagi.

UMNO...DULU BAGAIMANA???
Diasaskan 11 Mei 1946 oleh Datuk Onn bin Jaafar, datuk kepada Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein (kalau mengikut definisi yang pernah dikemukakan oleh cucunya ini maka Datuk Onn layak digelar sebagai Petualang Bangsa).Diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Feberuari 1988.

Antara Asas dan Tujuan:-
UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendokong cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa,agama dan negara.Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) adalah sebuah pertubuhan parti politik bertujuan untuk menentang Malayan Union, mempertahankan hak ketuanan Melayu dan kedaulatan Raja-raja seterusnya memerdekakan Tanah Melayu dari penjajah. Perjuangan UMNO yang berteraskan Melayu tidak menyimpang dari kehendak Islam.

Ketegasan UMNO untuk agama Islam terbukti dengan tertakluk dalam perlembagaan

yang menyebutnya di dalam fasal 3.3 :

‘Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan agama.’


Hakikat Sebenar (10 tahun terakhir):-
1. Menghapus tulisan Jawi

2. Perompak harta negara

3. Pengkhianat bangsa Melayu


UMNO...KINI MACAMANA???
Diasaskan oleh Mantan Perdana Menteri Keempat yang kini bukan lagi ahli dan mungkin hanya diterima permohonan menyertai kembali UMNO selepas pergi Pak Lah pada Mac 2009( itupun kalau Pak Lah betul-betul pergi) iaitu Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 13 Februari 1988 selepas UMNO asal yang ditubuhkan pada 1946 telah diharamkan pendaftarannya oleh mahkamah.UMNO ini secara rasminya dikenali sebagai UMNO (BARU) yang menggunakan semula semua hak-hak UMNO yang diharamkan termasuk lambang, perlembagaan (dengan pindaan),cogankata, lagu, bendera dan yang paling penting harta atau aset UMNO berjumlah lebih satu billion.(fakta yang pelik ialah bagaimana Pendaftar Pertubuhan boleh membenarkan UMNO (Baru) menggunakan Perlembagaan UMNO, lambang UMNO, lencana UMNO dan bendera UMNO sedangkan UMNO telah pun DIHARAMKAN oleh Mahkamah Tinggi Malaysia pada 4 Februari 1988?)

Asas dan tujuan penubuhan semula:
UMNO (BARU) adalah sebuah parti politik yang berjuang mendokong cita-cita
Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa,agama dan negara serta ingin menyelamatkan aset UMNO semasa yang bernilai lebih dari satu billion.

Hakikat yang hakiki (10 tahun terakhir):-
1. Melahirkan ramai pengamal RASUAH yang hebat

2. Perompak harta UMNO dan negara

3. Perompak wang Tabung Haji dan KWSP

4. Pengkhianat bangsa Melayu (menghentam raja-raja Melayu)

5. Memenjara bangsa Melayu melalui tuduhan palsu dan hukuman

tanpa bicara (ISA)

6. Menghina Nabi Muhammad s.a.w

7. Menyekat dakwah ISLAM yang sebenar

8. Memperlekeh Al-Quran dan penentang hukum ALLAH

yang hebat

9. Meroboh surau dan masjid ALLAH

10. Menyokong program hiburan maksiat

11. Membiarkan gejala MURTAD terus menular dalam
kalangan bangsa Melayu

12. Memperkenalkan Mazhab baru iaitu HADHARI (difahamkan
ia singkatan daripada (Ada HAD pada HARI tertentu)


Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara dua wajah UMNO ini tetapi sekurang-kurangnya ia mempunyai sedikit persamaan iaitu tiga dari empat mantan Presidennya pernah keluar dari UMNO.

UMNO...SELAMANYA JADI LAGU MANA???

Tsunami Politik Pasca PRU-12 ternyata mengubah segala yang indah buat UMNO kerana sehingga ke saat artikel ini ditulis UMNO masih gagal mengurus kekalahan mereka sehinggakan ada dalam kalangan pemimpin terang-terangan berkonfrontasi dengan Presiden UMNO semasa dan UMNO sebenarnya telah terbahagi kepada beberapa kabilah yang menyebabkan ia sukar untuk bercakap soal kesatuan bangsa apatah lagi menjulang ketinggian adab dan agama Islam. Kegagalan mereka diteruskan lagi dengan pengisytiharan keluar dari UMNO bersyarat oleh Mantan Presidennya sendiri dan kemasukan Mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan yang merupakan musuh sampai ke mati antara kedua tokoh tersebut.

Soalnya, apa lagi kekuatan yang tinggal pada UMNO jika kita renung kelakuan dua tiga 'partner' UMNO dalam Barisan Nasional yang mula berani menuntut hak
dan meminta sesuatu yang cukup asing bagi mereka untuk menyuarakan secara terbuka sepanjang 3 dekad yang lalu. Mengapa, kenapa, bagaimana, apa, bila dan di mana
UMNO sekarang??? Itulah persoalan yang akan dibangkitkan bila ada insan cuba bicara tentang kelangsungan politik Melayu UMNO ini. Adakah ini petunjuk dari Allah
bahawa sesuatu perjuangan yang berteraskan kebangsaan akan lupus selagi ia tegar berpegang kepada soal pokok ketuanan bangsa dan bukan ketuanan agama yang mungkin
terlalu sensitif untuk disentuh?
Hakikatnya, UMNO semakin hari semakin lemah dengan perebutan kuasa dan jawatan oleh golongan 'elites' yang bertarung dengan kelompok kecil golongan kasta bawahan yang ada sedikit keberanian untuk bersaing atas nama perjuangan rakyat walaupun dinafikan pelbagai hak mereka. Saya yakin satu hari, ahli UMNO akan kembali menginsafi hak mereka sebagai ahli yang mendukung perjuangan sebenar bila mana UMNO asal ditubuhkan 62 tahun dahulu dan pada ketika itu walau mungkin ia sudah terlewat tetapi sekurang-kurangnya mereka menggunakan hak mereka secara amanah dan telus untuk memberikan tempat kepada pemimpin yang bersifat pejuang bukannya bersifat perakus dan pengaut khazanah dan harta rakyat sebagai pimpinan mereka. Saya yakin pada ketika itu, UMNO akan kembali menguasai keadaan dan berjaya akhirnya menguruskan apa yang termaktub sebagai kekalahan paling teruk sebuah parti yang dikatakan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Mohon Berhujah!!!

Oktober 20, 2008

Salam Takziah Buat Keluarga Shamsiah Fakeh...Pejuang Kemerdekaan Yang Dilupakan..

Salam Bloggers,

Petang ini saya mendapat berita dari salah seorang blogger(thanks 2 Tuan Amin Iskandar) tentang kembalinya ke rahmatullah Pejuang kemerdekaan negara yang dilupakan, Shamsiah Fakeh yang telah menghembuskan nafas terakhirnya siang tadi di rumah anaknya, Kamarudin. Jenazahnya kini diuruskan oleh Surau Al-Hidayah, Kucai Entrepreneur’s Park.

Beliau akan dikebumikan selepas Asar nanti di Tanah perkuburan Islam Sungai Besi off Lebuhraya besraya. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi anaknya Jamaludin di 019-387-0467 atau anak saudaranya Izad di 012-315-9561.

Negara kehilangan seorang lagi tokoh yang telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk tanah yang tercinta ini.

Al-Fatihah buat Shamsiah Fakeh, tokoh kemerdekaan negara. Semoga Allah akan menempatkan dirinya bersama orang-orang yang beriman dan berjuang untuk kebebasan ramai.

thx!

p/s: Kekadang lucu pabila melihat muka-muka yang ditabalkan sebagai 'pejuang kemerdekaan negara' setiap kali menjelang 31 Ogos setiap tahun tetapi mereka yang sebenar-benarnya berjuang terus dilupakan, hanya segelintir rakyat yang mengiktiraf sumbangan mereka. Inilah Malaysia Negaraku Tercinta...

Oktober 17, 2008

'Dosa Politik' Pak Lah & Najib (Part One)

Salam Bloggers,

Pada siri kali ini saya akan membicarakan tentang 'Dosa Politik' khususnya kepada UMNO terutama sebelum dan selepas PRU 12. Mungkin artikel kali ini agak ringkas tetapi apa yang saya harapkan ialah komen terbaik dari para pengulas blog yang ada sama ada mengiyakan atau menafikannya.

Dalam bahagian pertama ini saya akan menyentuh 'Dosa Politik' Pak Lah dan Najib yang menyebabkan kekalahan teruk UMNO/BN dalam PRU 12. Cuma saya amat tidak berpuas hati kerana setakat hari ini hanya Pak Lah yang di'kambinghitam'kan oleh ahli-ahli UMNO sedangkan Najib juga antara yang menjadi faktor utama yang menyumbang kepada tsunami politik Malaysia 2008.

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa Pak Lah dan Najib adalah panel utama pemilihan calon UMNO/BN dalam PRU 12. seorang lagi yang terlibat telahpun di'kambinghitam'kan sedari awal kekalahan teruk parti pemerintah iaitu mantan Setiausaha Agung UMNO merangkap Ahli Parlimen Kangar (Bekas Orang Kuat Semangat 46) Dato' Seri Mohd.Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad.Mengikut sumber terdekat, beliau juga dituduh menyelewengkan wang parti yang hendak digunakan untuk tujuan perbelanjaan PRU 12(Tuduhan ini tak dapat dibuktikan tetapi ia turut menjadi penyebab perletakan jawatan beliau dalam UMNO).

Dalam kalangan ahli UMNO, dengan tegas menyatakan bahawa UMNO/BN tewas bukan kerana kekuatan parti pembangkang tetapi akibat kelemahan dalaman parti sendiri. Ini dikukuhkan lagi dengan fakta yang berikut:

1)Pemilihan calon dilihat terang-terangan melanggar Perlembagaan UMNO. Ini menyebabkan ramai dalam kalangan Ketua Bahagian atau ahli yang memegang jawatan penting UMNO tersisih dari dipilih menjadi calon.Difahamkan lebih dari 80 orang ketua bahagian yang tidak terpilih atau digugurkan tanpa sebab sebagai calon UMNO/BN dalam PRU 12.

2)Pak Lah dikatakan menyerahkan sebahagian besar kuasa memilih calon terutama di kalangan orang muda kepada menantu kesayangannya dan akibatnya seperti yang kita lihat, ramai calon pilihan menantunya itu tewas kebanyakkan kerusi yang ditandingi.Menantunya sendiri menang atas undi pos dan sebenarnya sedang menghampiri kekalahan jika undi pos ditiadakan oleh Suruhanjaya Pilihanaya Malaysia (SPR).

3)Najib pula telah menggunakan kuasa dan kesempatan yang ada untuk memilih calon yang terdiri dari penyokong setianya dengan mengenepikan perlembagaan UMNO yang mana dia sendiri menjadi Timbalan Presidennya. Sebagai contoh saya nyatakan satu nama iaitu Cikgu Mat Rawi Kassim, yang kini menjadi ADUN N.2 Beseri, Perlis merangkap EXCO Kerajaan Negeri Perlis(Regim yang merampas kuasa dari kerajaan terdahulu).Beliau merupakan sahabat baik kepada Najib. Bahkan setiap kali Mat Rawi Kassim berkunjung ke Kuala Lumpur, dia akan menghabiskan masa bersama dengan Najib.Itu apa yang berlaku di negeri Perlis.

4)Pemilihan Azmi Khalid, seorang ahli biasa dalam cawangan UMNO RPA Batu 16, Padang Besar telah menimbulkan tanda tanya kerana jika dilihat pada umurnya yang sudah menjangkau 69 tahun dan terpilih atas sebab yang tidak diketahui menyebabkan telah menyemarakkan kemarahan dalam kalangan ahli UMNO khususnya dalam Bahagian Padang Besar yang mana ketua bahagiannya digugurkan tanpa sebab yang rasional. Kesudahannya, majoriti tinggi dalam PRU 11 yang pernah diperolehi oleh suami Normala Samsudin(yang pernah memberitahu takkan balik kerap ke Perlis kerana airnya yang kotor dan memberi kesan kepada kulit 'halus'nya)sebanyak hampir 10,000 undi berkurangan hampir setengah kepada 5000 undi menujukkan berlakunya protes senyap penyokong BN.Anehnya, kini Azmi Khalid dan para balacinya menyatakan ketua bahagian yang ada sekarang yang melakukan konspirasi untuk menjatuhkan beliau dalam PRU 12.Kini Azmi Khalid akan bertanding untuk merebut semula jawatan yang pernah beliau tidak tandingi atas alasan 'bersara dari politik'. Biasalah kalau janji seorang yang pernah dipanggil 'munafik' oleh seorang rakan politiknya.Kalau dikira pembohongan yang dibuat beliau sepanjang 4 penggal menjadi Ahli Parlimen Padang Besar maka saya langsung tidak terkejut mendengarnya.

Sebagai kesimpulannya dan mungkin juga akan menjadi kesimpulan untuk bahagian yang seterusnya, sepatutnya bukan Pak Lah sahaja tidak mempertahankan jawatan dalam parti serta kerajaan tetapi Najib juga mesti menunjukkan sikap kepimpinan yang tinggi dengan tidak bertanding dan meletakkan jawatan sebagai penanggungjawabannya atas kekalahan parti UMNO/BN dalaman PRU 12 yang lalu. Saya yakin ekonomi negara akan pulih semula jika unsur yang merosakkan ini dapat dilupuskan serta digantikan dengan unsur baru yang lebih mantap demi kelangsungan Malaysia dan keamanan rakyat selepas ini.

Mohon bercerita,

p/s: SMS sedang berlegar di negeri Perlis tentang perbuatan Ahli Parlimen Padang Besar dan Kangar yang telah bertemu dengan DSAI dan menandatangani persetujuan untuk melompat@menyertai Pakatan Rakyat. Setakat ini, belum ada sebarang penafian dari mereka berdua tentang hal ini. Apa yang tambah menarik dan mengukuhkan berita ini ialah Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad antara ahli parlimen yang tidak turut serta dalam lawatan Ahli Parlimen Malaysia ke Taiwan baru-baru ini.

Oktober 13, 2008

Detik Kejatuhan Dinasti Badawi(2003-2009)

Salam Bloggers!

Tanggal 9 Oktober 2008 lalu telah mencipta sejarah sebagai detik permulaan tumbangnya sebuah dinasti agung yang memerintah Negara Malaysia sejak 2003 selepas berlakunya peralihan kuasa mengikut hukum Faraid Mazhab Hadhari. Sesungguhnya ia amat dinantikan oleh sebahagian besar pengikut-pengikut bakal Khalifah Khulafa’Hadhariyyin yang seterusnya iaitu Amirul Wazirin Al-Muhammadi An-Najiib Ar-Razaqi Al-Manfusi Fi La.

Apa yang paling melucukan dalam drama peralihan kuasa ini ialah beberapa perkara yang dilupa atau sengaja dilupakan dalam tidur dan jaga. Antara perkara yang dilupakan ialah seperti berikut:

1)Mengapa hanya Amirul Wazirin Abdullah Ahmad Al-Hajj Al-Badawi sahaja yang perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk dalam PRU-12 sedangkan beberapa orang yang kekal memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Negeri yang dirampas pembangkang tidak pula berniat meneruskan apa yang dibuat oleh Imam Besar Hadhari semalam. Bahkan ada di antara mereka yang mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan ‘boss’ mereka tanpa menyedari bahawa mereka juga mesti melaksanakan tingkah yang sama jika mereka menyatakan sokongan terhadap apa yang dibuat oleh pemimpin tertinggi mereka. Mereka seperti Annuar Musa Al-Kelantani, Tajol Rosli Al-Beraqi, Mahazir Khalid Al-Qadhi wa ghairi zaalik. Mengapa mereka masih dengan muka tebal bahkan lebih tebal dari kulit khinzir langsung tiada hajat untuk melepaskan jawatan sebagai penanggungjawaban mereka terhadap kekalahan parti dalam PRU-12 yang lalu?

2)Mengapa Suami bakal Wanita Pertama Malaysia selepas Mac 2009 tidak juga meletakkan jawatan sebagai rasa tanggungjawab atas kekalahan teruk BN dalam PRU-12? Hakikatnya beliau yang turut terlibat dalam memilih calon-calon yang akan bertanding dalam PRU-12 tersebut hingga mengenepikan nama-nama mereka yang terdiri dari Ketua UMNO Bahagian yang ternyata layak untuk menjadi calon mengikut perlembagaan UMNO. Seorang lagi yang terlibat dalam urusan memilih calon telahpun digugurkan@dipecat dari jawatan Setiausaha Agung UMNO bahkan individu tersebut juga dituduh dengan melakukan penyelewengan wang pilihanraya sebagai usaha untuk mengkambinghitamkan seseorang atas kekalahan teruk dalam PRU-12 tersebut.

3)Mengapa UMNO terlalu takut untuk memecat keahlian Tun Dr. Mahathir (TDM) selepas banyak kenyataan beliau sama ada sebelum dan selepas pasca PRU-12 menyebabkan kegoncangan yang amat dahsyat dalam politik BN khususnya UMNO? Jika kenyataan seorang pemimpin tertinggi yang mengulas TDM sebagai seorang yang terlalu kuat dan pengaruh hingga menyebabkan tiada apa tindakan boleh diambil ke atas beliau dan akhirnya TDM dengan berani mengisytiharkan dirinya keluar dari UMNO bersyarat dan kini mahu menyertai semula UMNO yang di'khianati'nya pada waktu sebelum dan selepas PRU-12. UMNO terlalu lemah dan mengamalkan ‘double standard’ jika hendak menghukum seseorang ahlinya.UMNO berdiri atas nama parti bukan individu. Tak payahlah UMNO terus mengagungkan individu sepertimana yang PKR lakukan kerana ia meletakkan UMNO sama sahaja dengan PKR.Kini Mukhriz Mahathir pula sedang menaiki tangga kepemimpinan UMNO dengan pembawaan TDM dalam setiap 'sabda' dan 'taqrir'nya.

4)Hakikatnya kini UMNO mengamalkan sistem FARAID atau pusaka yang menghalalkan peralihan kuasa mengikut kuasa presiden semasa tanpa memikirkan hak-hak ahli akar umbi yang sewajibnya diberikan kuasa penuh tanpa tekanan sama ada untuk bertanding mana-mana jawatan dan bersuara memperbetulkan UMNO. Kenapa ada lagi ahli UMNO yang begitu ‘bodoh’ dan ‘bengong’ menerima sahaja apa jua pilihan dan kehendak pimpinan tertinggi parti walaupun tahu pilihan tersebut bukanlah yang terbaik untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO. Mengapa perlu dibiarkan individu pengkhianat yang ada dalam UMNO melanggar perlembagaan UMNO terutama fasal 10.3 dan 20.8 begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan? Kita lihat Badan Pencegah Rasuah(BPR) sendiri ‘masih lagi’ menyiasat laporan rasuah yang melibatkan dua orang pimpinan tertinggi UMNO hingga ke hari ini. Dalam pada itu, muncul pula kenyataan Lembaga Disiplin dan Tatatertib UMNO menghukum beberapa orang ahli atas kesalahan yang sama sehingga menggagalkan hasrat mereka untuk mencabar orang-orang tuan UMNO yang ada. Nyatalah UMNO banyak beretorik dalam mengendalikan isu berkaitan. Usah bicara soal akar budi bangsa kalau anak dan isteripun tidak menepati maksud ‘akar budi bangsa’. Hakikatnya kalau hendak menilai seseorang, kita mesti melihat kelakuan anak atau isteri jika mereka seorang lelaki dan begitu juga sebaliknya. Namun, apa yang tertera pada mata umum ahli UMNO di Malaysia seolah-olah tidak ‘alert’ langsung dengan kehancuran yang sedang dicipta ini.

Kesimpulannya, UMNO akan lebih cepat mati kalau tidak dipulihkan dari segenap aspek, pemimpin pula tanpa mengira kedudukan atau kasta mestilah dilupuskan jika terbukti mereka tidak mampu untuk menjana UMNO yang lebih gemilang pada masa akan datang atau mungkinkah UMNO akan wafat menjelang umurnya 63 tahun pada 2009?Kepada yang setia menanti imbuhan menjelang pemilihan, terimalah kalau itu juga anda anggapkan sebagai 'sedekah' dari calon-calon yang bertanding.....

Mohon bicara lagi,

Oktober 11, 2008

Siapa punya kerja??? Baru tawar diri sudah kena block!!!


Salam Bloggers!

Saya telah diminta oleh bekas calon yang menawarkan diri untuk jawatan Presiden UMNO iaitu Saudara Ismail bin Hashim a.k.a Mail Bangsawan untuk menyampaikan rasa terkilan kerana ada tangan-tangan yang "baik hati" telah menyebabkan blognya "SEKILO GARAM" disekat oleh Google hanya selepas 24 jam dibuka. Kerja siapakah ini? Kalau beginilah politik UMNO, saya rasa terlalu hina menyebut nama UMNO...ada sesiapa sokong saya dalam hal menghalang suara rakyat dari didengar oleh umum???Semoga Allah memberi jutaan rahmat kepada mereka yang berlaku khianat! Aamiiin

Ya Allah Ya Tuhanku Andai Aku Berada Di Pihak Yang Benar Maka Engkau Berikan Kebaikan Kepada Mereka Yang Khianat...

mohon membantu,

Oktober 08, 2008

Kalau Sudah Bingung, Maka Bingunglah Sampai Bila-Bila...

Salam Aidil-Fitri,

Pagi ini saya membaca rencana pengarang dalam Berita Harian bertarikh 8 Oktober 2008(m/s.33) di atas tajuk " Umno Memaknakan Seruan Hang Tuah" tulisan Mohd. Ayop Abd. Razid yang bertugas sebagai Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia. Seperti biasa, penulis yang makan gaji dengan kerajaan akan membicarakan tentang fakta sejarah umum dengan menambah mitos dalam fakta sehingga mengenepikan apa yang saya katakan sebagai sejarah dan hakikat yang sebenar. Tulisan beliau nyata melengkapkan status sebagai ahli kelab 'ampu-bodek's' yang dipengerusikan oleh Datuk Manja Ismail (Pengarang Kumpuan BHSB).

Apabila membaca tulisan beliau, wujud kekeliruan dalam fikiran saya tentang anutan mazhab yang dipegang oleh beliau.Adakah beliau ini seorang lagi 'rasict' Melayu yang bercakap atas platform semangat 'assobiyyah' yang hanya sekali menyebut tentang Islam dalam tulisannya kali ini. Saya sudah melontarkan persoalan dalam tulisan terakhir saya sebelum Aidil-Fitri baru-baru ini iaitu "Melayu Yang Bagaimana UMNO Hendak Perjuangkan?". Mungkin beliau terlepas pandang membaca ulasan saya tersebut. walaubagaimanapun, mungkin selepas ini beliau akan menjawab pertanyaan saya hasil pertolongan rakan-rakan bloggers yang mengenali beliau. Saya simpulkan rencana beliau sebagai satu lagi skrip RETORIK demi kelangsungan politik yang bangkrap dan basi.

Dalam perenggan keempat rencananya, beliau menyatakan dalam jangka masa 50 tahun selepas merdeka, kemajuan bangsa Melayu melonjak begitu pantas dalam semua bidang sedangkan hampir lima abad penjajah berjaya melemahkan psikologi dan minda bangsa Melayu. Tambahnya lagi semua ini adalah sesuatu yang mengagumkan. Entah fakta mana yang cuba diselewengkan oleh beliau bila bicara tentang kemajuan hebat bangsa Melayu di Malaysia? Melayu mana yang berjaya dalam perniagaan di negara ini? Melayu Mamak? Melayu Turki? Melayu Jawa? Melayu Arab? Melayu Siam? atau Bumiputera Sabah dan Sarawak? Berapa ramai orang Melayu yang berjaya dalam bidang pendidikan jika dibandingkan dengan bangsa lain-lain yang ada.Berapa ramai Melayu yang bekerja secara professional jika dibandingkan dengan bangsa lain?(Sila rujuk kenyataan KJ dalam temubual dengan Utusan Malaysia: Kalau kita lihat pada pencapaian ekonomi bumiputera, pendapatan puratanya masih tercorot berbanding etnik utama yang lain dengan pendapatan sebanyak RM3,156 yang juga 14 peratus lebih rendah dari pendapatan purata penduduk Malaysia. Manakala pemilikan ekuiti bumiputera hanyalah 19.4 peratus berbanding bukan bumiputera pada 43.9 peratus. Pemilikan aset bukan kewangan milik bumiputera pula amatlah rendah pada 15 peratus berbanding etnik Cina pada 76.1 peratus atau nisbah 1:5.)Cuba nafikan wahai ahli kelab 'Ampu-Bodek's' yang ada.


Dalam perenggan keenam, penulis mengakui bahawa DEB telah ditiadakan dan hanya semangatnya sahaja yang diteruskan menerusi Dasar Pembangunan Nasional(DPN) sejak 1991. Ia membuktikan bahawa kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh seorang pemimpin pembangkang adalah tidak menjadi masalah tetapi sayang UMNO yang sudah kehabisan isu telah mempergunakan kenyataan tersebut untuk menyerang habis-habisan pemimpin pembangkang tersebut. Inilah wajah UMNO pasca PRU-12. Bodoh dan bangang dalam mencipta isu, bodoh dan bangang juga dalam memainkan isu dan akhirnya bodoh dan bangang menerima tamparan dari sesuatu isu yang dipolitikkan mereka.

Dalam perenggan ketujuh ialah kenyataan yang seolah-olah menghukum generasi muda sebagai golongan yang tidak bersyukur dan tidak memahami sejarah tanahair sedangkan nyata banyak fakta sejarah yang sengaja disembunyikan tetapi diketahui oleh generasi muda melalui sumber lain yang juga sahih tanpa tapisan membuatkan generasi muda semakin meluat dengan mainan media yang 'pro-kera' seperti ini. Salahkah andainya generasi muda yang terdidik dengan nilai-nilai kebenaran cuba mengkaji fakta-fakta sejarah yang ada. Ini bukan soal hendak mempersoalkan sejarah bangsa Melayu. Ini bukan soal hendak mempertikaikan apa yang dijaja sebagai 'Ketuanan Melayu' dan ini bukan soal hendak menafikan hak-hak istimewa orang Melayu yang pada hakikat sedia terhakis dek kerakusan pemimpin-pemimpin Melayu UMNO selama memerintah 50 tahun. Untuk apa kita mengwujudkan universiti di dalam negara ini jika hanya untukmengeluarkan produk cukup makan semata-mata dan mengiyakan setiap apa yang diperkatakan oleh orang-orang tua? Mengapa hendak menafikan pengkajian tentang asal-usul bangsa Melayu jika ia tidak memberikan sebarang masalah jika dinilai kebaikannya dari sudut bukan politik Melayu UMNO? Saya rasa penulis rencana ini lebih membuat penilaian berdasarkan skop 'tempurungnya' walaupun beliau sedar latar belakang sejarah yang ada semasa pra kemerdekaan negara ini. Mengapa UMNO sahaja yang di'highlight'kan? Mana hilang parti-parti politik yang lain?Mengapa hanya pejuang UMNO yang didoktrinkan untuk minda generasi muda kini? Mana pergi pejuang-pejuang yang merengkok dalam tahanan akibat melawan dasar yang cuba dilaksanakan oleh penjajah British pada ketika itu.

Dalam perenggan kesepuluh, pengarang menyatakan UMNO lahir atas latar belakang sejarah bangsanya yang cuba dimusnahkan oleh Inggeris secara halus dan licik. Sekali lagi dia berbohong demi periuk nasinya. Benarkah UMNO diwujudkan atas landasan ini? UMNO yang mana yang diwujudkan atas dasar ini? UMNO pasca 1946 atau UMNO pasca 1988. Fakta sejarah telah membuktikan bahawa UMNO yang wujud hari ini ialah UMNO era baru tetapi umum dibutakan dengan fakta UMNO kini telah wujud selama 62 tahun. Tidakkah ini hanya mitos dan dongengan tentang 'Keramat Melayu'? Sesungguhnya, tiada siapa yang menafikan hakikat bahawa UMNO kini bukan UMNO 1946 yang diasaskan oleh 'Petualang Bangsa'(Kalau mengikut definisi yang digunakan oleh Dato' Seri Hishamuddin Onn ketika mengulas tentang Dato' Seri Anwar Ibrahim) Datuk Onn Jaafar yang kemudiannya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Negara dan matinya 'patriot' ini dalam parti yang lain dari UMNO.

Saya ingin lontarkan satu persoalan khususnya berkaitan dengan UMNO yang memepertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, benarkah kenyataan ini jika kita lihat apa yang berlaku selepas pilihanraya umum ke 12 iaitu berkenaan perlantikan dua orang Menteri Besar UMNO di negeri yang mempunyai Raja Melayu iaitu Perlis dan Terengganu. Tindakan sesetengah penyokong UMNO yang taksub dengan pimpinan mantan MB dilihat lebih dari mencemarkan dan jelas menghina institusi raja itu sendiri.Sayangnya tiada pula tindakan oleh pihak yang berwajib kepada mereka yang menghina secara terang-terang.Mungkin pihak berwajib tersebut takut hendak mengambil tindakan melampaui apa yang ada pada Lembaga Disiplin UMNO yang cukup berkuasa terutama dalam kes pengggantungan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera dalam isu yang berkaitan.(Sila rujuk kenyataan Kucing UMNO-Dato' Seri Syed Hamid Albar tentang hukuman tersebut bila diajukan wartawan soalan mengapa tiada tindakan undang-undang ke atas Datuk Ahmad Ismail).Apakah ini semua bertujuan untuk memastikan politik Melayu tidak hilang arah atau semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan dua tiga orang yang semakin bergoncang sekarang ini?

Sebagai konklusi, saya berpendapat bahawa UMNO berdiri atas akar umbinya seramai 3 juta orang tetapi sayangnya, akar umbi tersebut makin lemah akibat diracuni dengan sogokan material yang terlalu berlebihan hingga mampu mengubah prinsip perjuangan UMNO yang sebenar. Pemimpin pelapis terpaksa menunggu dan terus menunggu kocek masing-masing penuh barulah mampu untuk 'duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah' dengan pemimpin lain yang lemah integriti tetapi bercakap soal prinsip perjuangan hakiki.UMNO BOLEH???!!!

Renung-renungkanlah....

Mohon Membantah!!!