Confirm!!!! UMNO Dah Celaru…,
Perkembangan politik semasa khususnya yang berkaitan UMNO jelas lagi bersuluh memberikan kita pengertian yang mendalam akan hakikat UMNO sudah sah kecelaruannya. Lihat sahaja pelbagai aksi yang disajikan dalam setiap persidangan UMNO di peringkat bahagian yang semakin menghampiri penghujungnya pada 9 November ini. Walaupun ‘pengganti’ PM semasa seperti dibuntuti oleh sebilangan besar ahli atau perwakilan cawangan walaupun dalam kalangan mereka menyedari bahawa ‘pengganti’ yang ditunjuk oleh bakal mantan Presiden UMNO itu bukanlah seorang calon paling layak untuk memimpin mereka tetapi kerana mengikut pola pencalonan semasa dan ada yang takut sangat dicop sebagai orang yang menongkah arus maka dengan rela paksa mereka mencalonkan ‘Imam Muda Mazhab Hadhari’ sebagai pengganti kepimpinan UMNO yang makin hancur itu.
Siapa yang dapat menafikan hakikat bahawa UMNO semakin teruk ‘dikepung’ oleh sekutunya seperti MCA, MIC dan parti komponen yang terutama dalam menjuarai isu kesaksamaan hak dan kebolehpercayaan rakyat yang mereka wakili. Kedengaran suara-suara ‘hebat’ ahli parlimen kerajaan yang kuat menghentam kerajaan kerana kealpaan pemimpin semasa melaksanakan janji dan keperihatinan mereka seperti yang termaktub dalam manifesto pilihanraya umum mereka. Namun begitu, suara mereka cuba juga dibisukan oleh ‘kepintaran’ individu tertentu yang tidak mahu dilihat rakyat sebagai contoh kerajaan yang lemah yang mungkin akan menyebabkan kejatuhan lebih awal dari yang dijangkakan.
Isu terkini, desakan MCA kepada Kerajaan Barisan Nasional(UMNO) untuk menghapuskan ekuiti wajib Bumiputera sebanyak 30% dalam saham syarikat yang hendak ditubuhkan menjadi antara contoh semasa terbaik, tetapi apa yang ingin diselami bukanlah keberanian MCA menyatakan desakan ini secara terbuka tetapi saya melihat kepada apa yang menjadi punca kepada keberanian sebuah parti yang selama ini dikenali sebagai rakan setia atau ‘loyalty partner’ yang biasanya bersetuju dengan setiap dasar atau apa yang dinamakan sebagai kontrak sosial di Malaysia sebelum ini.
Apa dan siapa yang menjadi punca kepada semua yang berlaku ini? Memanglah tak adil jika kita terus menyalahkan seseorang atau sesuatu sebagai ‘helah bela diri rasionalisasi’ untuk melarikan diri dari penanggungjawaban atau ayat yang biasa digunakan iaitu ‘KAMBING HITAM’ dan sebagai contoh individu pertama yang menjadi ‘KAMBING HITAM’ selepas kekalahan teruk UMNO/BN ialah Setiausaha Agung UMNO sendiri iaitu Dato’ Seri Mohd. Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad yang menurut katanya ‘meletak jawatan’ walaupun hakikatnya dilucutkan jawatannya atas kegagalan memberi input terbaik khususnya kepada Bakal Mantan Presiden UMNO@Perdana Menteri(bermula Mac 2009) sebelum mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada awal Mac 2008 yang lalu. Dua tiga ‘ekor’ kambing hitam yang seterusnya rasanya tak perlu saya nyatakan dalam artikel ini kerana umum sedia mengetahuinya. Kita berbalik kepada apa yang menjadi punca kepada berlakunya semua perkara yang satu ketika dulu sebenarnya amat asing kepada umum. Secara tuntasnya, dasar yang UMNO laksanakan khususnya sebagai pemerintah utama kerajaan yang berdiri hari ini menjadi penyebab kepada kelangsungan kekalutan dan ketidakstabilan politik negara kini. Antaranya,
1) Persempadanan semula kawasan pilihanraya yang memberikan kelebihan majoriti penentu undi kepada bangsa Cina di sesetengah kawasan yang dulunya merupakan kawasan majoriti Melayu.
2) Meletakkan calon bukan bumiputera di kawasan pengundi Melayu/Bumiputera yang secara umumnya amat setia kepada UMNO/BN dan tak ragu-ragu member undi mereka asalkan yang menang itu BN sedangkan pengundi Cina hanya tegar sebahagian besarnya tidak sesekali memberikan undi mereka kepada calon selain warna kulit dan sebangsa mereka.
3) Pemilihan calon yang merupakan pengikut kepada individu tertentu menyebabkan calon tersebut kalah kerana tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki pengundi, malangnya ia berlaku majoritinya di kawasan yang pengundi Melayu menjadi penentu.
4) Hakikatnya, kerajaan yang ada semakin lemah, ditambah pula dengan ahli UMNO lebih sibuk dalam perkara memilih bakal pemimpin sandaran baru mereka yang boleh menganjarkan imbuhan terbaik buat mereka daripada bersatu hati menghadapi kekalutan yang kian melemahkan pimpinan kerajaan semasa.
5) inilah implikasi negatif yang mesti diterima apabila agenda bangsa menjadi tunjang utama dasar perjuangan UMNO(Baru) dan tidak meletakkan Islam sebagai teras utama parti. Perlu diingat, kaum Cina dan India hanya menyentuh soal-soal dan hak-hak Melayu tetapi mereka tidak berani langsung sebenarnya hendak menyentuh secara terang-terangan hak Islam di Malaysia. Jangan terkejut kalau ada pihak yang bersifat keagamaan akan lebih berani meminta kesamarataan dalam beragama jika keadaan semasa dibiarkan.
6) Kerajaan semasa lebih gemar menggunakan akta dan undang-undang berkaitan untuk mengertak dan menakutkan rakyat tetapi mereka tidak sedar semakin hari semakin kuat dan kukuh keberanian diri mereka untuk menentang apa yang mereka sifatkan sebagai kemungkaran kerajaan yang ada hari ini dan tak hairan jika ada dalam kalangan rakyat yang lebih dahsyat cara dan perjuangan mereka akan menjuarai demonstrasi jalanan di Malaysia suatu hari nanti.
Mohon berhujah,
p/s: Makin tak faham politik ‘busuk’ UMNO kini….
Oktober 29, 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan