Julai 21, 2009

BN Kalah Lagi Di Manek Urai!!! Kenapa UMNO Masih Tak Sedar Diri???!!!

Salam Bloggers!

Malam ini secara tak sengaja saya telah terbaca satu tulisan yang menarik untuk dikongsikan khususnya kepada Pimpinan UMNO yang masih tak berubah-ubah dan tak sedar diri untuk menawan hati rakyat secara total. Mungkin ramai dalam kalangan ahli UMNO yang masih tidak sedarkan diri mereka yang lebih banyak diperbodohkan oleh tingkah pemimpin kesayangan mereka yang terus mengaut untung dari polemik politik Malaysia. Pandangan yang cukup ikhlas dari seorang penulis berdarah UMNO yang pada pendapat saya menegur UMNO dengan cara yang lebih terbuka kerana memikirkan kelangsungan kuasa ketuanan UMNO yang semakin goyah hari demi hari. Tulisan ini saya kutip dari sebuah akhbar kerajaan. Sama-sama kita baca dan hayati teguran khususnya kepada ahli-ahli UMNO yang berkepentingan dalam 'memperjuangkan' politik bangsa 'MELAYU' (tak tahu MELAYU mana yang diperjuangkan...kena tanya Presiden GPMS)

Kutip pengajaran dari Manek Urai

Oleh DUSUKI AHMAD

SEPERTI dijangka, Pas terus mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai. Pilihan raya kecil Selasa lalu membuktikan jangkaan itu. Pas terus menguasai Manek Urai.

Bagaimanapun kemenangan Pas itu bukan kerana parti itu kuat atau disebabkan kelemahan UMNO dan Barisan Nasional. Sebenarnya kemenangan Pas di situ kerana majoriti pengundi di Kelantan tidak merasa apa-apa kerugian di bawah pentadbiran Pas.

Mereka tidak merasa sebarang kesusahan dan kesulitan. Rutin harian mereka selesa dan tidak ada perbezaan langsung dengan rakyat di negeri-negeri yang diperintah oleh BN.

Seorang penceramah Pas melontarkan soalan: "Apakah rakyat Kelantan hari ini miskin kerana sokong Pas? Adakah anak-anak muda Kelantan merantau kerana kelaparan di negeri sendiri?"

Bagi penulis, kekalahan BN dengan majoriti nipis itu amat luar biasa dan mengejutkan. Ia boleh dianggap sebagai kekalahan dalam kemenangan.

Seorang pekerja UMNO dan Rancangan Tanah Kampung Peria memberitahu secara sinis: "Jika UMNO Kelantan hendak menang, mesti lakukan dua perkara. Pertama, jangan calonkan orang muda yang cerdik dan berkelulusan. Cari penjual roti atau aiskrim atau yang kerja menjaja di sekeliling kampung. Mungkin calon-calon daripada golongan ini lebih mudah menang.

"Kedua, tawarkan projek semewah mungkin kepada Kelantan sehingga rakyat merasa mereka lebih maju dari negeri lain. Dan projek itu mesti dilaksanakan oleh UMNO."

Dia mungkin sinis dengan kenyataan itu tetapi mempunyai andaian sendiri. Katanya, selagi majoriti pengundi Kelantan tidak merasa rugi di bawah Pas, mereka akan terus sokong Pas. Kelompok itu hanya akan menyokong UMNO apabila mula merasa mereka tidak mendapat apa-apa di bawah Pas.

Namun sekarang mereka tidak merasa begitu kerana semua hajat dan keperluan mereka dipenuhi oleh kerajaan pusat walaupun Kelantan diperintah oleh Pas. Jadi mereka tidak merasa dipinggirkan walaupun telah memilih Pas. Jadi kenapa perlu mengundi BN?

Kenyataan beliau ada logiknya. Sejak sekian lama, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan bertukar ganti. Mereka melakukan pelbagai strategi termasuk membawa pembangunan. Namun sehingga kini belum berjaya memujuk pengundi Pas untuk berpaling kepada UMNO. Puncanya, kerana mereka merasakan usaha pembangunan itu dibuat oleh Pas dan bukannya UMNO.

Nelayan, petani, pekebun dan peneroka masih terus mendapat bantuan kerajaan. Mereka mendapat pelbagai subsidi. Ia turut dinikmati oleh golongan yang enggan mengundi UMNO.

Pemimpin-pemimpin UMNO sewaktu berkempen sering berkata, rakyat Kelantan mundur, miskin dan terkebelakang.

Namun sebenarnya itu tidak betul. Ia disangkal sendiri oleh rakyat. Bahkan orang luar yang datang ke Kelantan juga dapat merasakan bahawa negeri itu tidak mundur atau ketinggalan.

Semua kemudahan ada di negeri itu. Kemudahan asas dari Tumpat hingga ke Guaa Musang lengkap. Jalan raya, elektrik, air bersih dan sebagainya disediakan oleh kerajaan pusat. Begitu juga dengan sekolah, masjid, madrasah dan dewan orang ramai. Malah pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta pun ada di Kelantan.

Sejak Pas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 1990, beberapa jambatan telah dibina merentangi Sungai Kelantan. Jalan-jalan raya juga diperbesarkan. Jalan-jalan kampung sudah ditar.

Semua itu dibina melalui peruntukan kewangan kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Persekutuan. Tetapi mereka yang mengundi Pas tidak tahu semua itu. Yang mereka tahu ialah pembangunan tersebut hadir sewaktu Pas memerintah. Maka tidak salah sekiranya mereka menyangka ia dibuat oleh Pas.

Walaupun rakyat Kelantan menolak BN tetapi mereka tidak diketepikan. Maka tentunya mereka tidak perlu menyokong BN hanya untuk mendapat bantuan.

Memetik kata-kata seorang pemimpin Pas: "Adik kakak jangan runsing dan gelabah tentang pembangunan, kerana orang UMNO ada kepentingan dengan pembangunan itu. Ketua-ketua mereka akan buat permohonan dengan menteri-menteri di Kuala Lumpur. Mereka akan mendesak kerana mereka ada kepentingan dengan projek-projek itu.

"Mereka adalah kontraktor dan ahli perniagaan. Jika tidak pun mereka akan beroleh komisen daripada projek itu."


Tidak tahu benar atau tidak kenyataan itu tetapi itulah yang dipegang oleh pengundi Kelantan yang mengundi Pas.

Walaupun isu-isu yang disumbat ke dalam telinga orang ramai itu kebanyakannya fitnah belaka, tetapi ia sudah menjadi persepsi rakyat.

Andainya semua pihak merasai selesa berpayung di negeri yang kalah maka UMNO negeri Kelantan akan kalah selama-lamanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah beberapa kali membuat seruan kepada pemimpin peringkat kebangsaan yang terdiri daripada anggota tertinggi UMNO supaya turun ke akar umbi.

Rakyat kini mengukur UMNO berpaksikan kepada pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri kerana para pemimpin bawahan inilah yang berada bersama rakyat setiap masa.

Maka sebagai persiapan untuk pilihan raya akan datang, biarlah rakyat merasai dan menyedari mereka berada di negeri pembangkang. Pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan juga harus insaf bahawa mereka adalah pemimpin dari negeri yang kalah.

PENULIS ialah Pengerusi Amanah Raya Berhad.

p/s: Benarkah kenyataan bahawa lagi baik satu-satu negeri dipegang pakatan pembangkang kerana ia akan mendapat lebih perhatian dalam semua segi.... Lihatlah Perlis, negeri kecil tetapi ramai puak...terkonteng-konteng kerana ada yang masih mabuk kuasa dan sanggup menikan kawan hanya kerana berebut tanah sekangkang kera....renungkanlah wahai ahli UMNO!

1 ulasan:

Detguaq berkata...

Salam cikgu,

Saya suka jika ahli dan mereka yang cenderong dengan UMNO ada sedikit semangat rebel, tetapi bukan membangkang. rebel untuk menjadi kritis umpama baja organik, bukan baja kimia, racun organik, bukan racun kimia.

Mengenai projek dari federal, kita perlu akui bahawa setiap negeri perlukan keperluan asas termasuk infra, melalui keperluan inilah peluang diambil. Memanglah ahli polotik aka kontraktor akan cipta dan ambil peluang, habis tu mereka dari kalangan pembangkang tidak ambil peluang jugakah? Kedua-dua pihak berharap dana dari federal, satu dlm bentuk projek dan satu lagi dalam bentuk elaun sebagai wakil rakyat. Sebagai wakil rakyat mereka wajib meneruskan agenda mengelirukan rakyat demi elaun ini.