Kali ini saya akan membicarakan tentang siapa yang diberi dan memberi gelar kepada diri masing-masing kerana perjuangan masing-masing khususnya dalam Parti UMNO yang menjelang usia kewafatannya tahun hadapan.(moga ia tidak menjadi kenyataan)
1. Singa UMNO - Syed Jaafar Albar
2. Harimau UMNO - Shahidan Kassim
3. Kucing UMNO - Syed Hamid Albar
4. Tikus UMNO - Hishamuddin Hussein
Saya tak mahu mengulas tentang tokoh yang digelar Singa UMNO kerana beliau tiada lagi di dunia ini dan tak manis saya menyentuh hal berkaitan orang yang telah tiada tetapi secara ringkasnya gelaran yang diberikan kepadanya dilihat bersesuaian dengan apa yang telah diperjuangkan selama dia masih hidup.Moga UMNO kembali kepada landasan perjuangannya jika mahu terus diikuti oleh orang Melayu Islam selepas ini.
Tokoh kedua iaitu Dato' Seri Shahidan Kassim(DSSK) mantan Menteri Besar Perlis yang paling lama memegang kuasa dan akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya akibat 'rampasan kuasa dalaman' selepas PRU 12 yang lalu. Dengan jawatan semasa dalam UMNO negeri yang tinggal iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, 'taring' Harimau UMNO ini dilihat makin tumpul hari demi hari akibat permainan politik songsang pelbagai pihak bermula dari Presiden UMNO merangkap PM Pak Lah hinggalah penyokong setia dan tak setianya yang bertaburan selepas beliau disahkan tidak lagi menjadi MB di Perlis. Walaubagaimanapun, beliau masih mengekalkan jawatan Ketua Bahagian UMNO Arau untuk sesi baru selepas lawan-lawannya gagal menerima pencalonan yang melepasi kouta dalam persidangan cawangan UMNO Bahagian Arau yang telah selesai baru-baru ini. Saya secara peribadi langsung tidak menyenangi apa yang telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sanggup melanggar Perlembagaan UMNO untuk menjatuhkan beliau secara tidak bermaruah dengan menggunakan institusi beraja dan pengaruh individu tertentu yang pernah memijak bendera UMNO bahkan pernah bersumpah satu ketika untuk tidak menyertai UMNO. Apa yang dikesalkan dalam usaha untuk menawan hati pimpinan tertinggi UMNO, beliau dilihat sanggup dipermainkan dengan janji-janji yang tak pernah ditunaikan mengakibatkan penyokong setianya mula meluahkan rasa tidak puas hati atas tindakan orang 'atasan' dan 'balaci' di kiri dan kanan yang sanggup menghina 'boss' mereka itu. menurut sumber rapat DSSK yang boleh dipercayai menyatakan hanya 'Harimau UMNO' ini sahaja yang masih setia dan menyokong si lembik Pak Lah dalam apa jua tindakan dan keputusan. Setakat hari ini masih ada pengikut setia sama ada yang bersandiwara atau yang benar-benar mengikut masih mencium tangan bila bersalaman dengan beliau tetapi ramai yang sudah menjauh walaupun ada dalam kalangan mereka banyak diberi projek dan tender semasa beliau menjadi MB Perlis dahulu. DSSK seolah-olah tidak serik dengan apa yang pernah berlaku kepada pimpinan 'senior' yang juga telah mengalami pengalaman serupa ketika tidak lagi memegang kuasa penting. Kepada mereka yang suka 'tikam belakang', sikap anda amatlah dikesali kerana ia menunjukkan anda tidak ikhlas menyokong seseorang. Biarlah Allah yang menghukum 'kebaikan' anda. Hakikatnya, dibimbangi taring Harimau UMNO yang makin tumpul ini akan patah dalam masa terdekat akibat kesetiaan 'mengkhinzir buta' kepada pimpinan tertinggi yang terbukti menipu dan berbohong kepadanya. Adakah bila DSSK tersedar dia hanya dipergunakan maka pada ketika tersebut ia sudah terlewat baginya? Pada ketika DSSK akan menjadi seperti 'Bola Kempis" dalam politik Malaysia dan tentunya gigi harimaunya tinggal dua....
Personaliti seterusnya ialah anak kepada Singa UMNO yang digelarkan Kucing UMNO iaitu Dato' Seri Syed Hamid Albar(Menteri Dalam Negeri) yang cukup terkenal dalam masa sebulan ini kerana terlibat dalam pelbagai isu politik semasa. Tidak dapat dinafikan, beliau menaiki tangga politik atas ihsan dan nama arwah bapanya. Kalau tidak nescaya tidak akan ada keturunan Al-Bar lagi dalam politik negara. Dahulu ketika Mantan PM Tun Dr.Mahathir Mohamad(TDM), Syed Hamid dikenali sebagai pengikut setia TDM dan kerana itu beliau sering diamanahkan jawatan menteri kanan sebagi menghargai jasa dan ketaatan beliau. Akan tetapi selepas tampuk pemerintahan negara berubah, maka "pasir pantai yang dihempas ombak" pun turut berubah. Bermula dengan sokongan beliau kepada pembatalan projek Jambatan Indah Johor-Singapura yang menjadi "turning-point" pertelagahan antara dua nama besar UMNO semasa, beliau telah dilihat sebagai pemimpin yang mudah berubah prinsip walaupun dia sendiri antara individu penting dalam perlaksanaan projek tersebut. Ini amat mengecewakan TDM kerana Syed Hamid bukan lagi seperti dulu. Itu antara rentetan isu yang melonjakkan nama Syed Hamid Albar. Terkini, beliau terlibat secara langsung dengan isu penahanan tiga orang personaliti mengikut akta zalim ISA. apa yang mendukacitakan, ialah rasional penahanan salah seorang tahanan iaitu wartawan Tan Hoon Cheng ialah kerana melindungi diri wartawan tersebut dari ancaman 'orang-orang' tertentu yang marah dengan laporan akhbar yang dibuat wartawan tersebut sehingga menyebabkan seorang ketua bahagian UMNO digantung keahlian selama tiga tahun. Apakah tempoh 18 jam penahanan wartawan tersebut mencukupi untuk melindungi beliau dari sebarang ancaman? Sejak bila ISA digunakan untuk melindungi seseorang yang terancam? Kedangkalan jawapan beliau kepada wartawan yag hadir dalam sidang media selepas ISA digunakan menunjukkan Syed Hamid Albar sebagai gagal dalam tugasan kerana menjawab seperti kucing yang kelaparan sehingga sanggup memberi jawapan yang boleh diragukan dan mencemar imej menteri bertanggungjawab. Jawapan 'bodoh' beliau tentang tiada tindakan undang-undang terhadap pencetus isu berbaur perkauman oleh kerana Lembaga Tatatertib dan Disiplin UMNO telah menjatuhkan hukumannya seolah-olah telah membelakangi prinsip 'Kedaulatan Undang-Undang' kerana pihak berkuasa dilihat tidak mampu mencampuri urusan parti sekiranya parti telah mengambil tindakan walaupun ada kewajaran untuk diambil tindakan terhadap si pelaku. Kesannya, ramai dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri tidak puas hati dan meminta penjelasan terbaik atas isu berkenaan dari beliau. Tidak menghairankan kerana sudah menjadi resmi kucing, sanggup mencium kaki tuan yang busuk demi mendapatkan perhatian dan tidak terlepas 'soru'. (Susah juga bila berlaku situasi di mana orang bukan 'original' Melayu bercakap tentang Melayu...Bahkan dari sudut sejarah keluarga Syed Hamid Albar berasal dari tanah besar Indonesia sebelum pergi ke salasilah yang lebih jauh iaitu Hadramaut Arab)
Tokoh Kontroversial UMNO yang seterusnya ialah, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein yang sesuai digelarkan sebagai 'Tikus UMNO'. Seorang lagi menteri UMNO/BN yang bukan original Melayu kerana susur galur keturunannya berasal dari Turki ('Lantang' kononnya bercakap tentang Melayu). Beliau kekal sebagai Ketua Pemuda UMNO yang paling lembik sekali jika dibanding nama-nama besar KP Pemuda UMNO Malaysia sebelum ini.Sama seperti Kucing UMNO iaitu memanjat tangga politik dengan berbantukan nama besar bapanya dalam politik Malaysia iaitu Allahyarham Tun Hussein Onn dan datuknya Datuk Onn Jaafar. Keturunan bangsawan yang tak pernah merasa kesusahan hidup kerana umum sedia maklum akan peranan besar yang dipegang oleh datuknya dalam negeri Johor kemudian diteruskan di peringkat nasional, legasi itu kemudian diteruskan oleh bapanya sebagai Presiden UMNO dan PM Malaysia ketiga.(Apakah UMNO masih mahu meneruskan legasi keluarga seperti ini bagi memacu kecemerlangan politik bangsa Melayu?) Sebenarnya, Malaysia malang kerana mempunyai seorang menteri yang memegang portfolio pendidikan/pelajaran jika dilihat kepada gambar beliau memegang erat tin minuman 'biasa' ditangannya.(Gambar ini mengikut rekod tidak pernah dibuat sebarang penafian oleh Tikus UMNO ini akan kepalsuannya) Mengapa gelaran Tikus UMNO ini cukup 'ngam' dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini? jawapannya yang paling tepat ialah isu menghunus keris ketika persidangan Pergerakan UMNO Malaysia tahun 2007 apabila beliau dengan bangganya melaksanakan apa yang disifatkan sebagai 'ritual' adat Melayu Lama iaitu menghunus keris lalu menciumnya. Perbuatan ini kemudiannya mengundang padah apabila ramai dalam kalangan parti komponen terutama parti yang berteraskan kaum cina telah membantah 'ritual' tersebut kerana ia berbaur perkauman, walaupun dinafi dan dipertahankan tindakan tersebut pada mulanya, tetapi akhirnya Hishamuddin akur dengan tuntutan meminta maaf atas perbuatan yang tak seberapa itu. Hajat beliau untuk menjadi segagah Singa UMNO silam bertukar menjadi Tikus UMNO apabila ritual ini disabitkan antara faktor menyebabkan kekalahan teruk BN dalam PRU 12 yang lalu. Saya teringat satu catatan sinis Mufti Perlis yang ditujukan kepada beliau dalam kolum wajibnya di Mingguan Malaysia dengan memaparkan ia seperti kisah dongeng seorang panglima dari negara entah berentah yang menghunus ke langit kemudian apabila menyedari ada pihak yang tidak senang dengan tindakan itu lalu dia pun memohon maaf. Di sini kita boleh lihat bahawa apabila kita tidak istiqamah dalam mengerjakan sesuatu maka kita terlalu senang diperlekehkan oleh kawan dan lawan. Konklusinya, jadilah ia seperti "tikus yang ketakutan kerana disergah oleh kucing yang tak kelihatan".
Kesimpulannya, jika mahu diri dikenang sebagai pejuang dalam erti kata sebenarnya maka hindarilah unsur-unsur yang mampu menjatuhkan kredibiliti dan prinsip perjuangan itu sendiri. Sekali bergelumang dalam kekotoran politik maka bersedialah untuk turut kotor sama jika idea politik kotor itu dibawa bersama dalam memperjuangkan nilai murni politik kerana yang halal dan batil tidak boleh dicampur sekali. Ingat politik sebenarnya suci tetapi tangan yang merosakkan ini yang menyebabkan ia sering dipandang kotor. UMNO mesti kembali kepada perjuangan sebenar jika tidak ia akan hancur bersama ketegaran retorik politik serta legasi kepimpinan yang hanyir.
Terima kasih,
Mohon menegur,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan