Salam Bloggers!
Mungkin agak terlambat saya mengulas mengenai keputusan AMT UMNO tentang penundaan tarikh Pemilihan UMNO 2008 ke tahun depan. Bagai yang diramal saya semalam, keputusan ini memang tidak mengejutkan tetapi jika kita sorot pelbagai ulasan yang dikemukakan oleh para pemimpin UMNO tentang keputusan yang dibuat maka saya yakin kita boleh menerobos masuk ke dalam hati setiap pemimpin yang berkenaan.
Kata Si Kedi Dari Rembau
Khairy: penangguhan boleh rumitkan keadaan
Sep 26, 08 10:29pm
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno hari ini menunda tarikh perhimpunan agung ke Mac tahun depan boleh `merumitkan kempen' calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti nanti.
Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno berkata, tempoh kempen yang sebelum ini hanya dua bulan akan menjadi lebih panjang iaitu selama enam bulan dan akan menyukarkan calon yang bertanding bagi jawatan tertinggi seperti dirinya.
"Kita tahu ini mungkin akan menjadi satu keputusan yang muktamad, ...bagi mereka yang akan bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian tak mengapa, tetapi untuk saya yang bertanding jawatan ketua Pemuda, ia akan menjadi satu keputusan yang merumitkan kempen.
"Tempoh kempen akan menjadi lebih panjang dan ia bukan senang. Bayangkan kempen pilihanraya dua minggu pun tidak mudah, inikan pula enam bulan.
Berita selanjutnya...
Kata Ku Li (Wajah Raja Berjiwa Rakyat)
Ku Li: Ganti kuasa PM-Najib macam budak-budak
Sep 26, 08 5:13pm
Tengku Razaleigh Hamzah, yang berminat merebut kerusi presiden Umno, menyifatkan pelan peralihan kuasa terbaru antara dua pemimpin tertinggi parti itu sebagai "permainan budak-budak yang tidak habis-habis berebut barang kau dan aku".
"Sekarang kita sedar Malaysia menjadi negara yang mempunyai prasarana Dunia Pertama dan politik Dunia Ketiga, dengan para pemimpinnya menjadikan negara ini republik pisang," katanya, mengutip kenyataan perdana menteri yang pernah menggesa rakyat mempunyai "mentaliti kelas pertama" dengan kemudahan infrastruktur kelas pertama.
"Republik pisang" merupakan istilah sindiran, asalnya merujuk kepada perkembangan di Amerikan Latin, kepada negara yang kurang stabil dan mundur yang dikuasai oleh segelintir elit yang korup, kaya dan pentingkan diri sendiri.
Berita selanjutnya...
Kata Najib's (Suami Kepada Bakal Wanita Pertama Malaysia...Kalau Sempat)
Najib anggap keputusan MT 'bijaksana'
Sep 26, 08 3:31pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan menunda tarikh perhimpunan agung Umno ke Mac tahun depan dan mengekalkan tarikh mesyuarat Umno bahagian sebagai keputusan yang bijaksana.
"Keputusan itu dibuat dengan penuh bijaksana selepas mendengar pandangan pemimpin dan ahli akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibunegara hari ini.
Najib yang juga timbalan presiden Umno berkata tarikh sebenar perhimpunan agung itu akan diumumkan kemudian, demikian menurut laporan Bernama.
"Tarikh akan ditentukan dalam sedikit masa lagi tetapi yang pastinya ia akan berlaku bulan Mac," katanya.
Mesyuarat tergempar MT Umno hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan menunda tarikh perhimpunan agung parti yang sebelum ini dijadualkan pada Disember ini ke bulan Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.
Mesyuarat Umno bahagian dijadual dari 9 Oktober hingga 9 November.
Berita selanjutnya...
Kata Muhyiddin (Bakal Timbalan Presiden UMNO)
Muhyiddin: Tidak jejas wibawa PM
Abdul Rahim Sabri | Sep 26, 08 2:10pm
dikemaskini Pelan peralihan kuasa terbaru yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini tidak akan menjejaskan kewibawaan presidennya dan ia berlangsung secara terhormat, kata seorang naib presidennya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berharap keputusan terbaru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat pengumuman penting bulan depan, sebelum mesyuarat bahagian bermula 9 Oktober, akan "diterima baik oleh ahli-ahli Umno."
"Keputusan itu mengambil kira sentimen dan pandangan akar umbi bahawa beliau memikirkan ini pendekatan terbaik.
"Apapun keputusan yang dibuat ia mesti tidak menjejaskan perpaduan di dalam parti dan yang kedua, kita nak memastikan proses peralihan kuasa itu tidak menjejas kewibawaaan presiden.
"Ia mesti dibuat secara terhormat," katanya.
Muhyiddin berharap keputusan hari ini boleh diterima baik oleh ahli Umno di seluruh negara kerana dibuat atas pertimbangan yang bijaksana oleh presiden parti.
"Saya harap keputusan-keputusan yang dibuat atas sebab-sebab yang berpatutan ini walaupun pemilihan ini dilewatkan sehingga Mac tahun depan.
"Maka ahli-ahli seluruh negara tidak merasakan ini menyalahgunakan kedudukan dan kuasa.
"Keputusan ini mengambil kira sentimen, pandangan akar umbi," katanya selepas mesyuarat tergempar MT pagi ini di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
berita selanjutnya...
Kata Zahidi (Pro Perjuangan Rakyat)
Zahidi: Keputusan MT 'ada muslihat'
Abdul Rahim Sabri & Muda Mohd Noor | Sep 26, 08 8:07pm
Ketua bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin tidak bersetuju dengan keputusan menunda mesyuarat agung tahunan Umno ke tahun depan dan menyifatkan langkah itu "bermuslihat."
Keputusan itu dilaporkan bertujuan menyegerakan pelan peralihan kuasa Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak.
Tiada tarikh baru bagaimanapun diumumkan selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) pagi ini. Pelan awal peralihan kuasa dirancang pertengahan 2010.
Zahidi, yang juga timbalan ketua perhubungan Perlis, menambah beliau tidak faham kenapa penangguhan itu dibuat kerana masa antara mesyuarat bahagian dan mesyuarat agung terlalu jauh.
"Sepatutnya kalau nak tunda, tunda dengan (mesyuarat) bahagian sekali. Saya tak faham kenapa buat begitu.
"Seolah-olah ada muslihat tertentu," kata Zahidi kepada Malaysiakini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut maksud muslihat tersebut.
Berita selanjutnya...
Kata Shahidan (Harimau UMNO @ Penasihat PM Yang Baru)
Sementara ketua perhubungannya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perubahan pucuk pimpinan dalam Umno tidak menjamin parti akan menjadi kuat.
Beliau berkata, ahli Umno tidak boleh duduk diam tetapi harus bekerja kuat untuk parti.
Katanya, penangguhan tersebut tidak memberi kesan kerana jika sesuatu bahagian tidak mencalonkan seseorang pemimpin tertentu, sudah tentu pemimpin itu tidak boleh bertanding.
"Ahli parti tidak bising apa-apa, hanya orang luar (pembangkang) yang sibuk buat bising," katanya.
Kata Amran Ali (Setiausaha Pemuda UMNO Jerlun...Khabarnya Bakal Bertanding KP Jerlun)
Di Kedah, setiausaha Pemuda Jerlun, Amran Ali bagaimanapun menyifatkan penangguhan mesyuarat agung Umno satu tindakan yang bagus.
"Sekiranya niat untuk menangguh mesyuarat agung semata-mata untuk mengukuhkan parti, itu satu langkah yang bagus.
"Tapi kalau nak lari daripada kenyataan (politik), (tindakan) itu tidak betul," kata Amran ketika dihubungi petang tadi.
Katanya lagi, jarak antara mesyuarat bahagian dan mesyuarat agung terlalu jauh, hampir lima bulan, menimbulkan pelbagai andaian dalam kalangan ahli-ahli Umno.
"Kalau andaian dari sudut positif, maka positif akhirnya. Jika suka kepada negatif, maka negatif akhirnya," kata Amran.
Ekoran itu, pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan seterusnya ekoran penangguhan mesyuarat dan pemilihan pucuk pimpinan daripada Disember ini kepada tahun depan.
Kata Datuk Wan Zakaria Wan Abdul Rahman (Naib Ketua Bahagian Besut)
Di Terengganu, naib ketua Besut, Datuk Wan Zakaria Wan Abdul Rahman meminta ahli-ahli Umno khusus di bahagian tersebut bersabar sepanjang penangguhan tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat membuat andaian sama ada Abdullah ingin mempertahankan jawatan presiden Umno atau tidak apabila mengumumkan perkara itu, bulan depan.
Kata Datuk Ir Jamlus Aziz (Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan)
Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan Datuk Ir Jamlus Aziz berkata, keputusan menunda tarikh perhimpunan agung Umno boleh mendatangkan kebaikan kepada ahli.
"MT membuat satu tindakan untuk mengutamakan ahli dan parti dan oleh kerana itu ia perlu diterima oleh ahli Umno di semua peringkat.
"Pemuda Umno Negeri Sembilan menerima baik keputusan tersebut kerana ia memberi kelegaan kepada parti,” katanya.
Kata Syukur Idrus (Ketua Pemuda UMNO Selangor)
Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus pula berkata, penangguhan tersebut membolehkan perwakilan mempunyai masa yang cukup untuk memilih pemimpin parti.
Manakala pemimpin, pula katanya, boleh melakukan kompromi untuk menarik diri daripada bertanding.
Bagaimanapun, peralihan kuasa ini juga perlu berlaku di peringkat bahagian untuk menguatkan parti di semua peringkat.
Kata Ali Rustam (Naib Presiden UMNO...Rasa-rasa kali ini sahaja)
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, keputusan MT untuk meneruskan mesyuarat perwakilan bahagian mulai 9 Oktober depan adalah satu keputusan yang baik dan melegakan semua pihak, terutama di peringkat akar umbi.
Manakala keputusan untuk menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan parti dari Disember ke Mac tahun depan pula, katanya, dapat melicinkan proses peralihan kuasa.
Kata Mukhriz (Exco Pemuda UMNO Malaysia)
Mukhriz persoal penangguhan perhimpunan agung
Sep 27, 08 9:43pm
Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) menangguhkan perhimpunan agung parti itu yang dijadual Disember ini ke bulan Mac tahun depan yang dilihatnya memberi impak negatif.
Beliau berkata tindakan MT itu menyebabkan ahli Umno menjadi semakin bosan dengan kepimpinan parti kerana bagi mereka tidak ada keperluan munasabah perhimpunan agung Umno ditangguhkan.
Bernama memetik Mukhriz sebagai berkata, beliau sendiri tidak faham kenapa penangguhan itu perlu dilakukan dan ia tentunya akan memberikan gambaran yang tidak sihat serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi.
"Daripada maklum balas yang saya terima dari seluruh negara, penangguhan perhimpunan agung Umno itu memberikan impak negatif dan ramai yang mahu supaya MT membatalkan penangguhan tersebut," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama ahli Umno Bahagian Temerloh dan Kuala Krau di Temerloh hari ini.
Mukhriz berkata penangguhan yang mengambil masa hanya tiga bulan dari tarikh asal itu, juga tidak relevan dan tidak memberikan sebarang kelebihan dalam menguatkan semula parti.
Wahai Bloggers Yang Bijaksana!
Daripada rentetan kenyataan yang dibuat dapatlah saya simpulkan bahawa masih terdapat dalam kalangan ahli UMNO di peringkat tertinggi yang meneruskan tradisi 'ampu-bodek' yang semakin aktif menghancurkan kekuatan UMNO sendiri dan tempoh tersebut bertambah lagi hampir lima bulan. Apakah UMNO dapat bertahan dari serangan 'kanser tahap keempat' ini? Kepada pemimpin UMNO yang masih 'memalu rentak mengikut tarian sumbing' usahlah terus bersandiwara demi memenuhkan perut sendiri, sedarlah masih ramai dalam kalangan ahli akar umbi yang miskin yang mengharapkan UMNO boleh merubah nasib mereka setelah 51 tahun Malaysia merdeka. Tak payahlah hendak menegakkan ketuanan pemimpin yang kebasian idea dan maltlamat. Kepada ahli akar umbi, sedarlah masa semakin suntuk buat anda untuk melaksanakan perubahan. Saya teringat rangkap terakhir pantun Dr.Asri (Mufti Perlis):
PERGILAH MANDI DI TITI TINGGI,
JALAN TERSEPAK TALI PENCUCI;
CARILAH GANTI BERBUDI TINGGI,
BUKAN PEROMPAK GANTI PENCURI...
Renungkanlah...
Mohon Mencelah,
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan