Salam Bloggers
Hari ini saya akan membicarakan hal seorang sahabat yang saya kenali lebih dua tahun dan pernah berada beberapa kali dalam majlis beliau bahkan pernah juga saya makan dan minum semeja denga beliau. Beliau juga tokoh yang saya minta jasa baik dan masa emasnya untuk mencadangkan nama anak saya yang kelima dan Alhamdulillah nama yang dicadang itulah telah rasmi menjadi nama anak saya yang kelima itu. Beliau yang saya maksudkan ialah SS Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang bakal bebas dari satu amanah yang berat dipikul selama 2 tahun 1 bulan sebelum ini menjelang tengah malam nanti (30 November 2008).
Jika diteliti tulisan akhir beliau di kolum wajib di Mingguan Malaysia, jelas menceritakan beberapa hal yang mungkin sesetengah dari kita langsung tidak pernah mengetahuinya. Lantaran itulah jika kita fahami betul-betul titipan akhir beliau mungkin kita akan mendapati sesuatu yang cukup berbeza mengenai perjuangan seorang tokoh yang sebaya saya dari segi umurnya tetapi jauh dari segi ilmu dan istiqamahnya dalam perjuangan mencerna nilai dan makna Islam yang banyak dipesongkan oleh individu-individu yang tertentu.
Secara terus-terang saya nyatakan bahawa saya amat sedih dengan perpisahan ini kerana saya nyata telah kehilangan seorang pakar rujuk secara sms dan talian terus. Beliau sentiasa cuba melayani persoalan dan isu yang saya kemukakan tanpa ada rasa terganggu walaupun ia di luar waktu rasminya. Hakikatnya, beliau seorang yang ‘humble’, ‘sporting’ dan ‘very understanding’ serta digemari oleh sebahagian besar rakyat Perlis yang sebenarnya sudah mula memahami isi perjuangan yang dibawanya selama memegang jawatan Mufti Perlis.
Jika kita rujuk setiap kenyataan ‘berani’ beliau khususnya berkaitan isu-isu semasa, jelas membuktikan pandangan istimewa dari seorang tokoh muda yang tak mengejar pangkat dan keselesaan kerusi empuknya. Tidak dinafikan, kekadang kenyataan beliau itu telah menimbulkan kontroversi seluruh negara tetapi setiap butiran kata-kata yang diatur beliau mempunyai sandaran yang kuat dan beliau sentiasa meminta pihak yang tidak suka dengan kenyataan beliau mendatangkan hujah naqli dan aqli untuk membatasi ‘fatwa-fatwa’ yang dikemukakan beliau. Malangnya, hingga ke saat ini, masih tiada yang berani untuk mendatangkan dalil yang mampu menasakhkan fatwa-fatwa beliau. Inilah yang dikatakan kekuatan dan kemantapan hujjah bila berbicara oleh seorang yang tidak bercakap atas nafsu dan kepentingan diri, bahkan hampir semua adalah demi kemaslahatan ummah.
Secara peribadi, saya melihat Perlis selama dua tahun ini lebih banyak diuji dengan pelbagai peristiwa besar termasuklah ‘rampasan kuasa MB’, ‘sorong tarik jawatan Mufti’ dan yang terakhir ‘kemangkatan Raja Puan Besar Perlis’. Semua ini sebenarnya mempunyai hikmah terbaik dan difahami oleh rakyat kebanyakan mengapa ia berlaku. Sebagai contohnya, bila selesai istiadat pemakaman Almarhumah Tunku Budriah diadakan sesi tazkirah dan bukannya talqin seperti yang diamalkan kebanyakan negeri dan ia menjadi contoh kejayaan satu perjuangan dan kelangsungan satu kekuatan yang bakal diteruskan oleh mufti yang bakal menggantikannya nanti. Saya yakin mufti yang baru juga bukan calang-calang orangnya kerana mereka dicadangkan sendiri oleh Dr. Asri sendiri sebagai sunnah yang perlu diamalkan supaya nanti tiada orang yang akan mempersoalkan sekiranya timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat selepas ini. Kepada Dr.MAZA, saya tabik ‘spring’ 1,000,000 kali atas setiap pengorbanan dan perjuangan anda. Semoga Dr. Asri akan terus menyampaikan dakwah tanpa perlu bimbang dan takut dengan tekanan atau ancaman maut kerana mati itu pasti dan andai itu yang telah dijanji maka terimalah ia sebagai satu aprisiasi atas segala pencapaian dan kejayaan anda.
Buat Seorang Sahabat...
"Bila Permata Sirna, Kaca Lebih Berkilau"
Hari ini hari terakhir
Kerdipan permata itu akan mula sirna
Di daerah yang pernah dimukiminya
Walau kuat kami pertahankan
Walau kuat kami perjuangkan
Walau kuat kami inginkan
Namun ia tetap akan sirna
Dek tangan-tangan jahat yang merosakkan
Yang tak pernah selesa di kerusi empuk mereka
Dek mulut-mulut yang tak pernah senang duduk
Yang tak mahu kehilangan martabat tinggi mereka
Dari saat mula hadir…
Dari waktu mula mandir…
Permata ini seakan takkan beralih tempat
Permata ini seakan takkan undur lagi
Dan…
Esok hari yang baru
Untuk permata yang baru
Moga ia lebih berkilau
Demi kelangsungan
Dinasti sunnah yang mula ditinggalkan
Demi kejatuhan
Dinasti mungkar yang mula ditabalkan
Aku tetap di sini
Melayarkan kekuatan
Untuk kembalikan sinar permata yang dipaksa-sirnakan…
Kerna ada yang masih mahu kaca lebih berkilau
Walau kaca itu bisa melukakan...
Terima kasih…
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
Aku doakan dr maza meneruskan perjuangannya menyebarkan syiar Islam.....
mardhotillah
salam...
AAMIIIIN....
Mr.Perfect!
Happy Eid-Adha...!
Doakan utk orang Islam yg lain jugak!
Roger!
Catat Ulasan