September 06, 2008

Kerajaan Negeri dan UMNO Negeri Perlis Tak Sehaluan?

Salam,
Alhamdulillah, kita sudah berjaya mengharungi hari yang kelima dalam Ramadhan tahun ini. Sesungguhnya ibadah puasa ini diperintahkan Allah S.W.T demi memantapkan ketaqwaan kita kepadaNya. Selain itu ia juga dilihat sebagai amalan terbaik dari segi kesihatan sebagaimana kajian oleh pakar-pakar perubatan sedunia.
Saya memilih tajuk ini sebagai respon dari sumber yang boleh dipercayai tentang apa yang telah dan sedang berlaku di Perlis terutama berkaitan pergolakan politik semasa. Sesungguhnya PRU 12 telah memberikan implikasi kepada senario politik semasa di negeri yang terkecil di Malaysia ini. Bermula dari keputusan pilihanraya tersebut yang memberikan kemenangan bergaya kepada BN dalam situasi semua negeri utara yang lain termasuk negeri yang didiami oleh Perdana Menteri Malaysia telah terlepas kepada pembangkang, peralihan kuasa terutama jawatan Menteri Besar yang secara tradisinya dipegang oleh Pengerusi Barisan Nasional Negeri merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri kepada seorang yang sebenarnya sudah berpencen dari politik Perlis tetapi diangkat semula oleh mentornya seorang mantan Setiausaha Agung UMNO kerana dialah satu-satunya calon terlayak untuk memegang jawatan tersebut dalam apa jua keadaan terutama ketika berlaku apa yang disifatkan umum sebagai 'rampasan kuasa terhormat'. Hasilnya Perlis secara rasminya menerima perlantikan seorang MB yang baru bagi menggantikan seorang yang masih tajam taringnya dalam politik Perlis dan Malaysia secara umumnya. Walaupun pada permulaannya, perlantikan MB baru itu dilihat sebagai satu usaha yang terdesak untuk meminggirkan mantan MB sedia ada yang sudah 15 tahun mentadbir negeri ini. Apa yang dikesalkan oleh sesetengah pihak termasuk pemerhati politik ialah cara Dato' Seri Shahidan Kassim diketepikan agak kasar serta boleh dianggap sebagai biadap bagi seorang pemimpin negeri yang berjaya mempertahankan negeri dari arus tsunami politik Mac 2008 dan ia telah mengundang pelbagai polemik dalam politik negeri ini dengan penolakan watikah perlantikan MB oleh PM dan campurtangan pihak Istana Negeri menambah menarik episod drama politik Perlis yang permai lagi mempesonakan ini.

Ahh.mungkin ini cerita lama tetapi peristiwa yang terjadi malam ini (5 September 2008) di Masjid Jamek Beseri seolah-olah memberi petanda bahawa hubungan baik yang dicanangkan antara Kerajaan Negeri Perlis di bawah pimpinan Dato' Seri Dr. Md.Isa Sabu dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis di bawah pimpinan Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim adalah retorik politik semata-mata untuk mengaburi pandangan umum bahawa UMNO Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis sentiasa bekerjasama untuk membangunkan negeri ini. Beberapa hari yang lalu, Shahidan dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam satu laman web menegaskan beliau belum mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk mengadakan majlis sumbangan sempena Ramadhan. Kebenarannya terbukti apabila beliau mengadakan majlis tersebut di perkarangan masjid berbeza dengan apa yang berjalan selama 10 tahun lalu tanpa kehadiran YB Mat Rawi Kassim (Adun Beseri yang baru) sedangkan pada malam yang sebelumnya beliau dilihat bersama jemaah menunaikan terawih. Sepatutnya beliau mampu hadir kalau malam ini beliau menunaikan solat terawih di masjid lain dalam kawasan kerana majlis tersebut dimulakan agak lewat kerana difahamkan Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim baru balik dari Jitra kerana ada majlis bersama PM di sana.
Persoalannya, mengapa perbezaan politik sesama parti harus dijadikan alasan untuk menidakkan suatu yang berkonsepkan ibadah terutama dalam bulan yang mulia ini? Apakah kerajaan negeri takut apabila mantan MB hendak mengumpulkan golongan yang miskin, ibu-ibu tunggal dalam satu majlis amal seperti ini? Mengapa permohonan UMNO negeri untuk mengadakan majlis di tempat yang biasa dijalankan program yang sama belum mendapat apa-apa makluman atau lampu hijau? Saya sendiri pada mulanya beranggapan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Seri Dr.Shahidan Kassim adalah percubaan untuk meraih simpati politik tetapi apabila majlis tersebut telah dijalankan bukan di tempat yang biasa maka saya yakin ada sesuatu yang kurang jelas akibat dari keengganan meluluskan permohonan oleh pihak yang berkenaan. Mungkin terlalu awal saya membuat tafsiran dari apa yang berlaku pada malam ini tetapi walau apapun alasannya, kelulusan hendaklah diberikan tanpa sebarang prejudis. Cuba bayangkan, sekiranya UMNO Negeri sendiri gagal untuk menggunakan kemudahan awam yang terdapat dalam negeri apatah lagi kalau pihak pembangkang yang memohon. Wajib gagal!!!

Menurut sumber, antara inti ucapan beliau ketika berada di majlis ini ialah, beliau menegaskan bahawa tujuan beliau hendak mengadakan majlis di Dewan Warisan sepertimana kebiasaan ialah untuk mengumpulkan golongan sasar bagi sama-sama terlibat dalam aktiviti Berbuka Puasa, Solat Terawih Berjemaah dan Tazkirah Umum yang selalunya disampaikan oleh cerdik pandai agama negeri. Sayangnya, mungkin ini yang disalahtafsirkan oleh pihak yang berkenaan apabila memutuskan untuk tidak memberikan kebenaran kepada permohonan menggunakan dewan tersebut oleh UMNO Negeri.

Walau apapun, majlis yang sama dikhabarkan akan diteruskan oleh beliau di masjid-masjid yang terpilih di seluruh negeri selepas ini. Terpulanglah kepada kerajaan negeri sama ada untuk meluluskan permohonan UMNO Negeri atau tidak. Saya mencadangkan agar kedua pihak menunjukkan rasa persaudaraan yang tinggi demi kelangsungan majlis di tempat yang lebih selesa tanpa perlu ada pekerja yang mendirikan khemah di petang hari sebagai persediaan untuk mengadakan majlis di sebelah malamnya. Sesungguhnya siasah atau politik itu suci dan janganlah mengotorkan hanya disebabkan oleh ketidaksamaan fahaman dalam politik sesama parti. Selagi ia dibiarkan sebegini maka selagi itulah UMO takkan pulih dan kebah dari 'Demam' akibat 'Tsunami Politik Mac 2008'.

sekian, terima kasih.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mohon menyampuk!

Woit sana woit sini
pagi petang siang malam
woit bloggers yang berani
jangan undur ke belakang

Kah sana kah sini
tidur siang jaga malam
kah kah kah digeruni
usah cabar bloggers serang

Woit sana kah sini
pesan mufti undur diri
anak singa mahu lari
anak tebuan naik LRT

Kah sana woit sini
kisah bunuh dan sodomi
integriti sudah mati
ketelusan tiada lagi

terima kasih

Tanpa Nama berkata...

pantun ni pun boleh tahan jugak,

Pantun 1 Mufti

kota sarat disimpan tempayan
zahir berlian disunyi hari
harta rakyat dijadikan taruhan
akhir kebencian menjadi api

Oghang Kampung
Balaih Pantun 1

Indah hidupnya di kota saghat
Berlian banyak dia miliki
Ghugi pun tiada dia tak ngaku pun jahat
Kebencian apa pun dia tak peduli

Pantun 2 Mufti

gula dan santan diuli roti
kelapa diparut dimakan sama
bila kebencian menjadi api
apa dihasut ditelan semua

Oghang Kampung
Balaih Pantun 2

Ghoti dicanai pekena ngan kaghi
Makan soghang puih sendighi
Biaq pee lah benci sampai berapi
Penghasut dia tingkah bila tiba nanti

Pantun 3 Mufti

anak singa di Pulau Tebrau
anak tebuan seekor lari
jika negara sudah kacau
eloklah tuan mengundur diri

Oghang Kampung
Balaih Pantun 3

Di mana pulau ada keghbau balau
Laghi tebuan dia jeghat nanti
Biaqlah negagha menjadi kacau
Mengundur dighi dia pantang sekali

Pantun 4 Mufti

pergilah mandi di Titi Tinggi
jalan tersepak tali pencuci
carilah ganti berbudi tinggi
bukan perompak ganti pencuri

Oghang Kampung
Balaih Pantun 4

Ghesort Mewah lebih seghonok dia mandi
Mata dia cuci jalan dia ghapi
Biaqlah peghompak biaqlah penchughi
Janji dibeghi anak menantu dia kelak pengganti


hehehe!