September 02, 2008

UMNO Menjelang Kewafatannya...

Salam Ukhuwah!

Alhamdulillah, syukur kerana saya diberikan kekuatan untuk meneruskan catatan dan kali ini saya memilih tajuk tersebut agar ia dapat dibahaskan tanpa prejudis oleh semua yang berkesempatan membaca catatan saya di blog ini.

Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W telah wafat pada umurnya tepat 63 tahun. Sedar atau tidak, tarikh Baginda dipanggil mengadap Tuhan Penciptanya sama seperti tarikh Baginda dilahirkan ke dunia ini.

Berbalik kepada UMNO, jika mengikut sejarah yang telah 'dipesongkan', maka pada tahun ini ia telah genap 62 tahun(jika dicampur dengan tahun kelahiran semula selepas ia diharamkan pada tahun 1988). Oleh yang demikian, tahun hadapan ialah tahun yang saya jangkakan tahun yang paling getir bagi pejuang UMNO sama ada mereka akan menangisi kepergian UMNO atau ia kembali bangkit dari zaman hitamnya kini. Kalau UMNO digambarkan sebagai seorang wanita maka ia telah menjangkau umur 'monopaus' dan kalau ia digambarkan sebagai lelaki maka ia sedang 'melimpasi' zaman 'andropaus' dan biasanya pada umur begini sepatutnya ia dihabiskan dengan bermunajat dan bermuhasabah atas segala pencapaian dan mungkin juga 'dosa-dosa' kepada bangsa yang di'agung'kan iaitu MELAYU.

Melihatkan kepada senario semasa, maka saya tak terkejut kalau ini adalah tahun-tahun akhir UMNO berkuasa di bumi Malaysia kerana terlalu banyak sangat retorik yang diperjuangkan oleh pimpinan UMNO semasa dan kekadang kita perhatikan mereka (pembesar UMNO) nyata mementingkan diri sendiri sehinggakan melupakan idea asal perjuangan parti 'keramat' orang Melayu ini. Ada yang bercakap soal perjuangan tetapi pada akhirnya tidak sampai kemana-mana. Ada yang menghunus keris ke langit (walau pada awalnya mempertahankan tujuan keris dihunus) tetapi pada akhirnya memohon ampun kepada sekutunya dalam komponen. Tak hairanlah kalau "Panglima UMNO" tersebut digelar "PONDAN" oleh sesetengah pemimpin pembangkang dan pimpinan dalam kerajaan memerintah itu sendiri. Natijahnya, Pemuda UMNO di bawah kepimpinannya dilihat seperti gagal untuk menjadi sayap pendesak terbaik kepada kerajaan memerintah. Dalam masa yang sama 'menantu' kesayangan Presiden UMNO telah dilihat memulakan gerakan untuk menawan jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan Disember 2008 dengan memenangi pencalonan sebagai Ketua Pemuda UMNO Rembau tanpa bertanding walaupun sehingga ke hari ini belum ada pengumuman 'rasmi' beliau untuk bertanding jawatan tersebut. Difahamkan melalui sumber tertentu, beliau telahpun menggerakkan 'Task Force' yang cukup "berkuasa" ke seluruh negara untuk melobi jawatan tersebut.

Konsep Faraid yang diterapkan oleh Presiden UMNO nampaknya telah menular kepada Pergerakan Wanita UMNO Malaysia apabila Ketua Wanita UMNO telah mengumumkan beliau akan melepaskan jawatannya pada masa yang akan ditentukannya atas alasan tidak mahu merosakkan perpaduan parti dan akhirnya ahli UMNO sudah jadi ahli yang hanya menurut perintah sebagaimana pegawai kerajaan semasa yang memerintah. Mengapa pimpinan UMNO terlalu takut untuk menyerahkan hak memilih kepada akar umbi? Ini yang menjadi persoalan yang cukup aneh di saat pemimpin selalu mengembar-gemburkan UMNO adalah sebuah parti yang demokrasi tetapi hakikatnya 'Autokrasi'.

Banyak lagi jika hendak diceritakan tentang hakikat UMNO era alaf baru ini tetapi dibimbangi akan menyentuh hati sesetengah pihak yang sedia 'karat' darahnya dengan darah UMNO. Cukuplah sekadar yang dipaparkan dan ada baiknya saya menunggu komen terbaik terutama daripada pejuang-pejuang UMNO yang takkan berubah kiblatnya walau apa jua aral melintang.

Sebagai konklusi, saya yakin sekiranya UMNO terus kekal dengan stail terkini maka tak mustahil jika UMNO akan secara rasminya WAFAT menjelang usianya ke 63 tahun. Buat pimpinan UMNO yang dihormati, rakyatkan UMNO seperti dahulu, jangan biarkan UMNO tenggelam dek kebodohan pimpianan semasa seperti karamnya Titanic yang agung itu.

p/s: apakah benar UMNO seperti yang dinyanyikan dalam video ini???


Terima Kasih..


Perfectwater75


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan Perfectwater75,

kelakar jugak lagu ni...
boleh masuk Juara Lagu!

tq!